Binatang-binatang yang terancam mengikut Perhilitan
Rusa Sambar
Rusa sambar merupakan spesies mamalia dalam keluarga Cervidae yang boleh didapati di Semenanjung Malaysia, Borneo, Myanmar, Thailand, Vietnam, Kemboja, Selatan China, Laos, Sri Lanka, India dan Indonesia (Sumatra) dan Filipina.
Rusa Sambar merupakan herbivor iaitu memakan daun, buah, pucuk muda, kulit pokok kayu, rumput dan tumbuhan herba. Spesies ini mendiami kawasan hutan tanah pamah yang sangat bergantung kepada sumber air, jenut dan makanan.
Rusa Sambar aktif pada waktu malam (nokturnal) dan kebiasaanya hidup berkumpulan dalam 2 hingga 3 ekor. Ianya adalah perenang yang baik di tasik dan sungai yang tidak berarus deras. Rusa Sambar juga gemar berkubang di dalam kubang yang berlumpur.
Rusa Sambar betina hanya melahirkan seekor anak sahaja pada satu-satu masa. Rusa Sambar mampu menghasilkan bunyi isyarat ketika ianya berada dalam keadaan terancam dan ingin mencari pasangan untuk mengawan. Ianya merupakan makanan utama Harimau Belang berbanding Kijang dan Babi Hutan.
Rusa Sambar adalah spesies hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Jabatan PERHILITAN telah mewujudkan moratorium bagi musim memburu Rusa Sambar selain Kijang dari tahun 2010 hingga 2021.
Ini bertujuan untuk meningkatkan populasinya yang secara tidak langsung, akan membantu untuk meningkatkan populasi Harimau Malaya.
Kucing Batu
Kucing Batu atau dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Leopard Cat merupakan spesies dalam keluarga Felidae yang boleh ditemui di Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, Cambodia dan Semenanjung Malaysia. Spesies ini juga boleh dijumpai di Pakistan, India, Nepal, China, Siberia, Taiwan, Sumatera, Jawa, Bali, Borneo dan Filipina.
Kucing Batu merupakan spesies kucing bersaiz kecil yang mendiami pelbagai jenis habitat, termasuklah hutan-hutan tebal, ladang-ladang dan kebun yang berhampiran hutan. Spesies ini merupakan hidupan liar nokturnal iaitu aktif pada waktu malam. Kebiasaannya Kucing Batu berjalan di lantai hutan dan kadangkala akan memanjat pokok.
Kucing Batu merupakan hidupan liar jenis Karnivor iaitu memakan spesies haiwan lain yang lebih kecil seperti tikus, katak dan cicak. Kucing Batu boleh melahirkan 1 hingga 4 ekor anak setelah bunting selama lebih kurang 56 hari.
Kucing Batu adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Tapir
Tapir berasal daripada famili Tapiridae dalam order Perissodactyla. Terdapat empat spesies tapir di dunia. Tapir Malaya (Tapirus indicus) boleh ditemui di Asia Tenggara, sementara tiga spesies lagi iaitu Mountain Tapir (T. pinchaque), Lowland Tapir (T. terrestris) dan Baird’s Tapir (T. bairdii) boleh ditemui di kawasan Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Tapir Malaya didapati di Selatan Thailand, Myanmar, Semenanjung Malaysia dan Pulau Sumatera. Spesies ini adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Tapir Malaya spesies terbesar di antara empat spesies tapir dan berat badannya di antara 250 – 320 kilogram. Tapir Malaya betina biasanya lebih besar daripada jantan. Spesies ini juga mempunyai keunikan tersendiri iaitu warna hitam dan putih pada badannya.
Anak Tapir Malaya mempunyai warna coklat dengan jalur dan bintik putih dan akan berubah warna seperti tapir dewasa setelah mencapai usia 6-8 minggu. Tapir aktif pada waktu malam, pemalu dan sangat sukar dijumpai di kawasan hutan kecuali di kawasan jenut. Tapir Malaya biasanya bersendirian (solitary) dan berpasangan hanya semasa musim mengawan.
Tempoh bunting adalah 13 bulan. Ini bermakna, seekor anak Tapir Malaya akan dilahirkan setiap dua tahun. Anak akan berpisah dengan ibu selepas 6 – 8 bulan dan matang semasa umur 3.5 tahun. Jangka hayat bagi Tapir Malaya adalah 30 – 35 tahun.
Tapir Malaya adalah mamalia herbivor dan memakan pelbagai jenis dedaun dan buah-buahan, termasuk juga pucuk muda, rumput, ranting lembut, herba dan kulit kayu yang lembut.
Tenggiling
Tenggiling atau Sunda Pangolin boleh ditemui di Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam. Di Malaysia, spesies ini adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Tenggiling adalah satu-satunya mamalia bersisik dari kumpulan Pholidota. Keseluruhan badannya dari hujung muncung hingga ke hujung ekor bersisik keras kecuali di bahagian bawah perut. Tenggiling mempunyai kepala kecil yang tirus ke arah hujung muncungnya. Kaki belakangnya lebih panjang dan besar dari kaki hadapan dengan lima kuku bagi setiap kaki. Tenggiling jantan lebih besar dari betina.
Tenggiling juga dikenali sebagai ‘scaly anteater’. Makanannya semut dan anai-anai. Lidahnya yang panjang berfungsi untuk menangkap serangga. Deria baunya adalah sangat kuat. Spesies ini amat penting untuk mengawal populasi serangga terutama semut dan anai-anai. Tahukah anda, Tenggiling tidak mempunyai gigi?
Ianya aktif pada waktu malam (nocturnal). Apabila berasa terancam, Tenggiling akan menggulung badannya untuk melindungi bawah badannya. Sisik Tenggiling juga mempunyai hujung yang tajam.
Satu fakta yang sangat menyedihkan adalah spesies ini sering diburu dan diperdagangkan di pasaran gelap untuk dijadikan ubatan tradisional.
Harimau Kumbang
Harimau Kumbang boleh ditemui di Afrika Timur dan Asia Selatan sehingga China, Semenanjung Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, spesies ini adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Badan yang hitam berkilat dengan tompok hitam merupakan ciri utama bagi harimau kumbang di hutan hujan berbanding harimau kumbang yang berwarna keemasan yang terdapat di padang pasir. Ini disebabkan oleh penghasilan pigmen hitam (melanin) yang berlebihan di dalam kulit dan bulunya.
Ianya merupakan karnivor yang makan pelbagai jenis binatang bersaiz sederhana serta aktif pada waktu malam. Pada siang hari spesies ini menghabiskan masa berehat di atas pokok. Gemar bergerak secara bersendirian dan bersama individu lain hanya ketika musim mengawan atau membesarkan anak. Tempoh bunting adalah 90 hingga 95 hari dengan 1 hingga 3 ekor anak pada setiap kelahiran.
Saiz jantan lebih besar daripada betina. Dengan saiz yang sederhana ini, tidak hairanlah ia lincah dan suka memanjat pokok serta mampu menjadi perenang yang kuat berbanding kucing besar yang lain.
Nota: Content yang terdapat di sini adalah adalah petikan dari laman FB Perhilitan. Semoga bermanafaat kepada semua yang cintakan bintang-binatang liar di Malaysia.